Ujian ‘Shakedown’ MotoGP 2023 SIC: Yamaha ‘garang’ hari pertama, kedua, Ducati ‘panas’ sesi terakhir!

Ujian ‘Shakedown’ MotoGP 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berlangsung selama tiga hari berakhir, hari ini yang menyaksikan Ducati kembali mempamer ‘taring’ selepas dua hari Yamaha mendominasi carta terpantas.

Sekalipun sesi ujian tidak semata-mata terarah kepada kelajuan jentera, begitupun ia antara aspek paling menjadi tumpuan terutama kepada jentera Yamaha yang dilihat bergelut dalam sudut berkenaan musim lalu.

Michele Pirro

Di hari ketiga, penunggang ujian Ducati, Michele Pirro akhirnya mencatatkan masa di bawah 2 minit, 1 minit 59.803 saat di jam terakhir ujian, 0.550 saat lebih pantas berbanding pelumba ujian Yamaha, Cal Crutchlow.

Cal Crutchlow

Satu-satunya pelumba rasmi MotoGP yang mengambil bahagian dalam ujian ‘Shakedown’ yang juga pelumba ‘rookie’, Augusto Fernandez mencatat masa ketiga terpantas, ketinggalan 0.679 saat bersama pasukan GASGAS Tech3.

Meskipun bukan catatan terpantas di Sepang, prestasi enjin Yamaha untuk musim 2023 jelas mencuri tumpuan dengan Crutchlow mencatat masa terpantas, 335.4 km/j, 4 km/j lebih pantas berbanding catatan yang dilakukan Fabio Quartararo bersama jentera M1 pada Oktober tahun lalu.

Augusto Fernandez

Sebagai rekod, Pirro yang menunggang jentera Ducati melakukan 336.4 km/j pada sesi pagi, hari ini namun ia berkemungkinan besar bukan catatan terpantas kerana catatan yang ditunjukkan ‘digantikan’ setiap kali pelumba melepasi garisan.

Crutchlow yang beraksi bersama pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP sebagai pelumba gantian pastinya menjadi penunggang uji paling ‘berpeluh’ sepanjang tiga hari ujian berlangsung.

Dani Pedrosa

Ini kerana pelumba kelahiran Britain itu terpaksa mengguji ketiga-tiga jentera Yamaha yang diuji (T1, T2, T3) pada hari pertama dan kedua ujian sebelum dua lagi pelumba ujian Yamaha, Katsuyuki Nakasuga dan Kohta Nozane kembali ke litar pada hari ini.

Begitupun, ia tidak menghalang pelumba berpengalaman itu mencetak masa terpantas pada hari pertama dan kedua.

Selain itu, pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa sekali lagi beraksi tanpa menghidupkan ‘transponder’ dengan ada ‘cakap-cakap’ menyatakan catatan dilakukannya pada hari pertama lebih pantas berbanding Crutchlow.

Sepanjang sesi ujian, Aprilia dilihat menggunakan ‘fairing’ baharu yang menampilkan laluan angin baharu, Ducati menggunakan ‘winglet’ sisi yang baharu, Yamaha menggunakan ‘fairing stealth’ namun Honda dan KTM dilihat hanya menggunaan rekaan lama.

Michele Pirro

KTM dijadual menggunakan beberapa komponen baharu yang direka bersama Red Bull Advanced Technologies namun keadaan hujan memaksa ia ditangguhkan. 

Sebagai info, jentera Aprilia diuji oleh Lorenzo Savadori dari Itali, Honda diuji oleh Stefan Bradl dari Jerman dan KTM, selain Pedrosa turut mendapatkan khidmat Jonas Folger dari Jerman sebagai pelumba ujian.

Jonas Forger

Secara ringkas, antara tujuan utama ujian ‘Shakedown’ dijalankan adalah untuk memastikan jentera baharu yang bakal digunakan pelumba berfungsi dengan sepatutnya apabila ia diserahkan kepada pelumba.

Selain itu, ia turut digunakan sebagai pembangunan untuk komponen baharu terutama dari sudut aerodinamik namun pasukan-pasukan dijangka menggunakan komponen aerodinamik yang baharu ketika ujian rasmi nanti.

Sebagai info, sesi ujian rasmi MotoGP dijadualkan selama tiga hari bermula Jumaat ini (10 hingga 12 Februari) dan lebih menarik, ia boleh disaksikan pengunjung ke Sepang.

Catatan terpantas ujian ‘Shakedown’ MotoGP 2023

Hari ketiga

  • Michele Pirro (ITA) Ducati, 1 minit 59.803 saat

Hari Kedua

  • Cal Crutchlow (GBR) Yamaha, 2 minit 2.079 saat (litar basah)

Hari Pertama

  • Cal Crutchlow (GBR) Yamaha, 2 minit 1.146 saat

Rekod rasmi terpantas di Sepang (MotoGP)

Sepusingan terpantas

  • Jorge Martin (SPA) Ducati, 1 minit 57.790 saat (2022)

Terpantas ketika perlumbaan

  • Jorge Martin (SPA) Ducati, 1 minit 59.634 saat (2022)

Source: Ujian ‘Shakedown’ MotoGP 2023 SIC: Yamaha ‘garang’ hari pertama, kedua, Ducati ‘panas’ sesi terakhir!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WelfulloutDoors.com