
Anda pasti sudah maklum bahawa tempoh pinjaman rumah di negara kita boleh dibuat mencecah 30 tahun tetapi kalau pinjaman kereta seperti Toyota Vellfire, paling maksimum pun 9 tahun sahaja. Tahukah anda apa sebabnya?
Menurut Pengarah Urusan Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Rafiq Hidayat Mohd Ramli, rumah mempunyai jaminan aset dan memiliki aspek peningkatan nilai kerana harganya sentiasa naik dan susah untuk turun. Jadi, tak rugilah kalau bank bagi tempoh pinjaman sampai begitu lama. Sebagai perbandingan, kereta mengalami kesusutan nilai dan lama-lama akan jadi besi buruk.
Tetapi kalau anda beli kereta JDM yang naik harga seperti model berprestasi tinggi tahun 80-an dan 90-an, lainlah cerita kerana nilainya tidak susut. Malah, ada yang mencecah dua kali ganda dari harga asal.
Juga baca: Kenapa harga kereta berprestasi Jepun (JDM) 80an dan 90an tiba-tiba mahal?
Bagi anda yang belum tahu, pihak bank biasaannya hanya akan meluluskan pinjaman rumah yang bayaran ansurannya tidak melebihi separuh daripada pendapatan bulanan.
Dalam topik sama, penasihat kewangan One Solution Advisory Sdn Bhd, Razwan Awaludin mengulas dengan berkata, “Jika terbeban dengan kadar faedah tinggi, peminjam boleh menyelesaikan lebih awal dari jadual, sama ada dengan membayar lebih banyak atau membuat simpanan pelaburan yang boleh mengumpul dana untuk menyelesaikan hutang secara sekaligus”.
Pinjaman kereta pula dikira berbeza dengan pinjaman gadai janji yang diterapkan untuk pembelian rumah.
Secara teknikal, kadar faedahnya dikira dari hari pertama dan ditambah ke dalam pinjaman keseluruhan. Pinjaman gadai janji pula mengurangkan baki kadar faedah yang mana kadar faedahnya adalah berdasarkan baki sebenar kita berhutang.
Kepada anda yang belum tahu, pinjaman kereta dan rumah mempunyai pilihan kadar faedah tetap atau kadar berubah melalui perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Tetapi dalam konteks ini, perancang kewangan VKA Wealth Planners Sdn Bhd, Kevin Neoh pernah merungkaikan bahawa tiada banyak bank yang menawarkan kadar tetap kerana pergerakan kadar faedah akan diserap oleh mereka. Disebabkan inilah faedah kadar tetap selalunya lebih tinggi daripada pinjaman gadai janji, berbeza lebih kurang 1%.
Juga baca: Semakin ramai jual semula kereta, tapi tak lepas nilai pasaran. Elak pinjam 9 tahun!
Source: Pinjaman Toyota Vellfire RM 300k boleh ansuran 9 tahun, tapi rumah sampai 30 tahun? Ini sebabnya