Skuter maxi aras mula yang turut popular di pasaran tempatan, Yamaha NMax 155 ‘disegarkan’ bagi versi 2023 di Indonesia, baru-baru ini namun kemas kini yang diberikan hanya membabitkan kemasan ‘kosmetik’.
Tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun spesfikasi trenkuasa dijalankan dengan kemas kini terbaharu itu hanya membabitkan pilihan warna baharu.

Pilihan warna baharu itu adalah Metallic Blue yang menggantikan skema warna Matte Blue.
Juga baca: Yamaha NMax 155 (2022) di Malaysia, dua warna baharu, harga naik RM 9.5k!
Tidak seperti di Malaysia di mana Yamaha NMax 155 (2022) datang dengan satu varian, Yamaha NMax 155 (2023) di Indonesia dijual dalam tiga varian bersama harga berbeza iaitu:
Yamaha NMax 155 (2023) Standard
- Pilihan warna: Metallic Blue (Baru), Matte Green, Metallic Red, Matte Black
- Harga: Rp. 31,615,000 (RM 8,927) OTR Jakarta
Yamaha NMax 155 (2023) Non ABS Connected
- Pilihan warna: Matte Green, Metallic Red, Silver, Matte Black
- Harga: Rp. 32,875,000 (RM 9,283) OTR Jakarta
Yamaha NMax (2023) ABS Connected
- Pilihan warna: Matte Green, Silver, Matte Black
- Harga: Rp. 35,750,000 (RM 10,096) OTR Jakarta
Mengulas perbezaan antara ketiga-tiga varian, Yamaha NMax (2023) ABS Connected datang dengan segala ‘jajan’ menarik daripada Yamaha termasuklah sistem sambungan Y-Connect, Sistem Kunci Pintar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Traksi.
Varian Yamaha NMax 155 (2023) Non ABS Connected, seperti namanya tidak mempunyai ABS namun memiliki ciri Y-Connect.
Di bahagian trenkuasa dengan Yamaha NMax 155 (2023) ini kekal dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, VVA, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 14.9 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,000 rpm.
Ciri-ciri menarik lain yang turut dikekalkan termasuklah sistem lampu LED penuh, ruangan simpaan bawah pelana 25 liter, kapasiti tangki bahan api 7.1 liter, suspensi belakang lengkap dengan ‘Sub tank‘, ‘Side Stand Switch’, ‘Stop Smart System’ dan panel meter digital LCD.
Sebagai info, Yamaha NMax 155 (2022) di pasaran Malaysia adalah sama seperti versi Standard di pasaran Indonesia.
Jadi adalah versi yang memiliki ciri seperti sambungan Y-Connect, Sistem Kunci Pintar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Traksi akan datang di pasaran Malaysia? Sama-sama kita nantikan.
Juga baca: Honda ADV 150 vs Yamaha NMax 155 Connected/ABS – mana paling best?
Source: Yamaha NMax 155 (2023) dikemaskini di seberang, ada warna baharu, harga paling murah RM 8.9k!