Pandang pertama EV Toyota bZ4X spesifikasi Malaysia – dilancarkan tak lama lagi?

Inilah dia, Toyota bZ4X spec Malaysia, yang ditayangkan di ibu pejabat UMW Toyota hari ini. Dua unit yang disediakan ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

bZ4x merupakan kereta elektrik (EV) pertama Toyota, dibina di atas platform e-TNGA yang dibangunkan bersama dengan Subaru.

bZ4x dipadatkan dengan bateri 71.4 kWh yang dipasang rata di bawah lantai kereta. Ia menyokong kadar pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, manakala ‘onboard charger’nya menyokong pengecasan AC 6.6 kW (Type 2 connector).

Juga baca: UMWT kini mempunyai 3 pengecas pantas DC dipasang di HQ mereka – siap sedia untuk Toyota bZ4X EV?

Sumber rapat memaklumkan bahawa Toyota bZ4x akan ditawarkan dengan hanya 1 varian seperti yang boleh dilihat di sini; iaitu dengan konfigurasi pacuan roda hadapan (FWD) serta kuasa kuda dan tork 204 PS/266 Nm. Jarak pemanduan menurut kitaran WLTP dikatakan boleh mencapai 500 km.

Menjenguk di ruang kabin bZ4x, terlihat sistem infotainment 12.3 inci yang menyokong sambungan Android Auto/Apple CarPlay, kluster meter digital 7 inci, kawalan iklim automatik dwi-zon, pengecas nirwayar, dan stereng berbentuk bulat yang tampil berbeza dengan stail ‘yoke’ seperti di pasaran-pasaran luar negara.

Maklumat lanjut mengenai EV Toyota bZ4x ini – seperti harga dan spesifikasi lengkapnya – akan diumumkan ketika pelancarannya kelak. Di UK, Toyota bZ4x dijual pada harga bermula dari GBP 45,710 (kira-kira RM 238k). Di Thailand pula, harga bZ4x bermula dari THB 1,836,000 (kira-kira RM 236k).

Juga baca: EV Toyota bZ4X di Thailand habis licin dalam masa 1 jam; harga RM 235k? Tiada masalah!

Pengecualian cukai bagi model EV berbateri di Malaysia akan berakhir pada 31 Disember 2023. Model CKD pula menikmati pengecualian tambahan 2 tahun iaitu sehingga 31 Disember 2025.

Bajet 2023 ada mencadangkan lanjutan pengecualian cukai ini selama setahun, namun ia tidak dipersetujui lagi memandangkan Parlimen negara dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15. Kerajaan baharu akan membentangkan semula Bajet 2023 pada 24 Februari 2023.

Juga baca: Harga RM 236k murah, Toyota bZ4X terima lebih 3,000 tempahan sehari di Thailand!

Walaupun tarikh Toyota bZ4x mula dijual di Malaysia belum didedahkan lagi, dua unit yang ditayangkan ini memberi klu yang ia bakal dilancarkan tak lama lagi. Ikut kami di WapCar – BM rapat-rapat untuk makluman dan berita terkini.

Juga baca: 7 SUV EV yang akan dilancar di Malaysia pada 2023: Toyota bZ4X, Smart #1, VW ID.4, dan banyak lagi!

Source: Pandang pertama EV Toyota bZ4X spesifikasi Malaysia – dilancarkan tak lama lagi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WelfulloutDoors.com