Satu perkembangan menarik muncul sejurus pengelola Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) mengeluarkan senarai barisan pelumba dan pasukan, baru-baru ini bagi ketiga-tiga kelas perlumbaan dalam perlumbaan itu untuk musim 2023.
Secara umumnya, Malaysia akan memiliki dua pelumba di kejuaraan berkenaan iaitu Hafizh Syahrin Abdullah dalam kelas perdana WorldSBK dan kelas pertengahan, Adam Norrodin di WorldSSP.
Tetapi ada perkembangan menarik diperoleh yang menyaksikan syarikat petroleum gergasi negara, Petronas kembali ke arena perlumbaan dua roda elit apabila sah menjadi penaja utama bagi pasukan disertai Adam.
Juga baca: Dua pelumba Malaysia beraksi musim depan, SIC patut serius timbang anjur semula WSBK?
Dan susulan kerjasama itu, nama rasmi pasukan itu, seperti yang didaftarkan di WSBK adalah Petronas MIE MS Racing Honda Team.
Petronas setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tapi apa yang pasti, perkembangan itu bukanlah sekadar khabar angin apabila nama berkenaan diumumkan sendiri pihak WSBK dalam laman web rasmi perlumbaan itu.
Kepada yang tidak tahu, pasukan yang disertai Adam adalah pasukan yang diuruskan oleh Midori Moriwaki, individu sama yang bertugas sebagai Prinsipal dalam pasukan MIE Racing Honda Team yang disertai Hafizh di WorldSBK.
Dan Midori sememangnya tidak asing dengan Petronas dan pernah bekerjasama sebelum ini bersama Hafizh ketika bekas pelumba MotoGP negara itu menyertai kejuaraan motosikal dunia.
Sebelum ini, Petronas pernah menjadi penaja utama kepada pasukan negara yang beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan MotoGP, Moto2 dan Moto3 menerusi pasukan Petronas Yamaha SRT dan Petronas Sprinta Racing.
Juga baca: Giliran Adam Norrodin ke WSBK, sertai MIE MS Racing Honda Team dalam kelas WorldSSP!
Kerjasama terbaharu membabitkan Petronas di Kejuaraan Motosikal Dunia adalah dengan menubuhkan pasukan Petronas MIE Racing yang berlumba di saingan Moto2 dengan tiket ‘wildcard’ di Grand Prix Malaysia, Oktober tahun lalu.

Di kelas WorldSSP, Adam akan beraksi bersama jentera Honda CBR600RR, yang juga penampilan semula jentera itu ke perlumbaan berkenaan selepas beberapa musim ‘berehat’.
Sumber imej: FB Adam Norrodin
Source: Petronas sertai WSBK, jadi penaja utama MIE MS Racing Honda Team di WorldSSP!