Selebriti, pelumba rali dan usahawan terkenal Amerika Syarikat (AS), Ken Block dilaporkan meninggal dunia susulan kemalangan kereta salji di Utah, AS, hari ini dengan pengumuman sedih itu dikongsikan di laman media sosial rasmi pasukannya, Hoonigan.
Hoonigan di Instagram menyatakan: “Ken adalah seorang yang berwawasan, perintis dan ikon. Dan yang paling penting, seorang bapa dan suami. Dia pasti akan amat dirindui.”
Menurut media di AS, Pejabat Sheriff Wasatch County di Utah mengesahkan kematian Block.
“Block menunggang di cerun curam di kawasan Mill Hollow di luar Woodland, Utah pada kira-kira jam 2.00 petang apabila kereta saljinya “terbalik, mendarat di atasnya,” menurut polis. “Block menunggang dalam kumpulan tetapi bersendirian ketika kejadian. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.”
Sebelum tragedi berlaku, Block, 55 tahun yang juga pengasas kepada Hoonigan Racing Division menerusi laman sosial peribadinya memaparkan beberapa imej dia melakukan aktiviti membabitkan sajli di Utah.
Selain dilabel sebagai salah seorang pelumba rali terkenal di dunia, di mana dia bersaing di era pertengahan 2000-an termasuk di Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dan meraih pelbagai kejayaan, Block juga berlumba secara kompetitif di perlumbaan motocross, papan selaju, kereta salji dan beberapa lagi sukan ekstrim.
Sejak bertahun-tahun, Block menjadi bintang terkenal di media sosial dan memiliki jutaan pengikut di media sosial susulan video permotoran ekstrim yang dihasilkan.
Menariknya, selain di arena permotoran, Block turut terkenal di bidang fesyen dan bersama rakan kongsinya, Damon Way, mereka menubuhkan jenama DC Shoe pada 1994.
Block meninggalkan seorang isteri, Lucy dan 3 anak dengan anak perempuannya, Lia yang berusia 16 tahun juga adalah seorang pelumba. Takziah daripada WapCar.
Sumber imej: FB Ken Block, Wikipedia
Source: Pelumba Rali, selebriti permotoran ekstrim AS, Ken Block maut kemalangan kereta salji