Selepas penarikan diri Suzuki dari MotoGP, syarikat pengeluar motosikal terkemuka Britain, Triumph dilihat sebagai antara ‘calon’ utama mengisi kekosongan itu selain BMW dan Kawasaki.
Tidak seperti BMW dan Kawasaki, Triumph sudah pun ‘beraksi’ di kejuaraan berkenaan namun bukan sebagai pasukan bertanding, namun sebagai pembekal di kejuaraan kelas pertengahan, Moto2. Sebagai info, Triumph mempunyai perjanjian eksklusif sebagai pembekal enjin Moto2 yang bermula sejak tahun 2019 hingga 2024.
Juga baca: Triumph Tiger Sport 660 2022 buat ‘debut’, rekaan padu, 81 PS, 64 Nm!
Selepas beberapa tahun, timbul persoalan adakah jenama itu ‘tertarik’ untuk ‘naik pangkat’ dengan menyertai MotoGP tetapi Ketua Pegawai Produk Triumph, Steve Sargent secara eksklusif kepada Crash.net memberikan jawapan yang kurang meyakinkan.
“Apabila kita bercakap mengenai bajet, ia adalah permainan yang begitu berbeza,” kata Sargent. “Dan ia sebenarnya bukan saja mengenai bajet untuk pergi berlumba, ia turut membabitkan jumlah dana yang diperlukan untuk R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) dan usaha untuk melakukan R&D di belakang tabir.
“Jadi, fokus kami ketika ini adalah terhadap Moto2, Supersport (WSBK) dan menyertai perlumbaan Motocross dan Enduro.”
Ketika kelas utama MotoGP tampil dengan perjanjian eksklusif membabitkan tayar, minyak dan komponen elektronik yang digunakan, Moto2 yang menggantikan kelas 250 cc pada 2010 unik apabila kesemua pasukan bertanding menggunakan enjin daripada pembekal yang sama, namun ‘Casis’ berbeza.
Juga baca: Jentera ‘garang’ Triumph, Tiger 850 Sport 2021 mendarat di Malaysia, harga RM 59,900
Jentera Moto2 sebelum ini dikuasakan enjin Honda CBR600s bermula daripada tahun 2011 hingga 2018 dengan Triumph mempertaruhkan enjin tiga silunder 765 cc.
Mengulas lanjut, Sargent berkata jangkaan pihaknya adalah untuk menunjukkan apa yang mampu dilakukan oleh Triumph sebagai syarikat pengeluar motosikal, terutama sekali dari sudut kemampuan kejuruteraan dan R&D.
“Saya fikir ramai orang tahu mengenai Triumph mengingati kami sebagai jenama motosikal klasik, tetapi jelas yang kami mempunyai segmen lain yang kami turut terbabit secara aktif.
“Ia adalah cuba untuk mencipta kesedaran mengenai kemampuan kami dari sudut pembangunan enjin berprestasi dan kebolehpercayaan mengenai kejuruteraan di belakangnya. Moto2 adalah peluang yang amat baik dan jentera yang hebat untuk melakukannya.
“Di negara-negara di mana MotoGP amat popular, Eropah Selatan dan Indonesia sebagai contoh, kesedaran mengenai jenama Triumph sudah melonjak sejak pembabitkan kami dalam Moto2.
“Pada akhirnya, apa yang kami ingin lakukan adalah meningkatkan jualan motosikal. Saya fikir Moto2 memberikan kami banyak manfaat,” kata Sargent yang penggunaan ‘lasak’ di Moto2 membuktikan kualiti dan kemampuan enjin dihasilkan Triumph.
Setakat ini, rekod terpantas yang dilakukan menggunakan enjin Triumph dalam Moto2 adalah 301.8 kmj yang dilakukan Stefano Manzi pada Grand Prix Australia 2019. Sebagai info, tanpa Suzuki, grid MotoGP musim depan menyusut kepada 24 kepada 22 pasukan pada musim depan.
Juga baca: Triumph Tiger 1200 (2022) kini di Malaysia, 2 varian, GT Pro & Rally Explorer, harga mula RM 116k!
Source: Triumph ‘fokus’ kepada Moto2, MotoGP ‘liga’ berbeza!