Saingan perlumbaan dua roda terkemuka tempatan, Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix yang memasuki edisi ke-30 musim depan, dijadual berlangsung sebanyak 10 pusingan.

Seperti musim 2022, saingan pembuka tirai dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada 25-26 Februari tahun depan, diikuti pusingan di Jempol, Negeri Sembilan pada 11-12 Mac.
Pusingan ke-3 yang dijadual pada 27-28 Mei, perlumbaan yang dianjurkan selepas bulan Ramadan begitupun belum ditentukan lokasinya.
Perlumbaan pusingan berikutnya kemudian diikuti di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 10-11 Jun, 8-9 Julai (Litar Lumba Tangkak), 21-22 Julai (Litar Permotoran Terengganu) dan Pusingan 7 di Teluk Intan, Perak (2-3 September).
Perlumbaan kembali ke Litar Permotoran Terengganu bagi Pusingan 8 pada 22-23 September diikuti Pusingan 9 di Litar Lumba Tangkak (21-22 Oktober) sebelum saingan menutup tirai di Pulau Pinang di Litar Batu Kawan (25-26 November).
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn. Bhd, Ron Hogg yang juga promoter Cub Prix berkata pihaknya sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk perlumbaan itu pada masa depan selepas mengharungi peralihan secara progresif (pandemik) ke arah situasi yang lebih terkawal dan stabil serta berharap bahawa kejuaraan Cub Prix akan kembali seperti biasa.
“Situasi pandemik selama lebih dua tahun sememangnya menjadi suatu cabaran bagi semua pihak. Namun di sebalik cabaran itu, kami telah memperolehi suatu pandangan yang amat berbeza dan positif terutamanya dalam penggunaan kemahiran kreatif dan inovasi untuk terus memajukan kejuaraan permotoran nasional ini termasuk dalam usaha kami untuk memacu kesedaran and memupuk minat di kalangan generasi muda,” katanya.
Sebagai info, saingan Cub Prix musim 2022 dikuasai pelumba Yamaha (Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing), Ahmad Afif Amran memenangi kelas elit, CP150. Kelas kedua, CP125 turut dimenangi pelumba yang menggunakan jentera Yamaha (OneXOX TKKR Racing Team), Md Shafiq Rasol.
Selain itu, kelas Wira KBS turut dimenangi pelumba Yamaha (Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing) Md Adam Haikal Jahar.
Source: Kalendar Cub Prix 2023 diumum, 10 pusingan, buka tirai 25 Feb di Sepang!