Semua pengguna tanpa mengira jenis kenderaan dilarang menggunakan Jalan Batang Kali-Genting yang ditutup selepas tragedi tanah runtuh yang berlaku di Father’s Organic Farm pada 16 Disember 2022 kerana proses pemeriksaan dan penyenggaraan masih berjalan.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim, berkata, walaupun keadaan jalan masih stabil, pemantauan cerun yang berterusan masih berjalan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, Jalan Batang Kali-Genting (Jalan B66) ditutup sepenuhnya dan tidak dibenarkan dibuka untuk semua jenis kenderaan ketika ini. Jalan ini ialah jalan negeri di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang akan memohon peruntukan pembaikan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Anggaran tempoh masa meliputi kerja awalan dan reka bentuk bakal mengambil masa empat bulan dan jangkaan pembinaan selama 12 bulan. Kerja pembaikan dan pengukuhan cerun ini merangkumi kerja-kerja penyiasatan tanah, pemantauan cerun, pembaikan dan pengukuhan cerun serta kerja baik pulih dan perabot jalan,” jelasnya kepada pemberita Sinar Harian.
Menurutnya, pembukaan satu lorong sehala di atas bahu jalan untuk penunggang motosikal akan dipertimbangkan, namun tertakluk kepada hasil pemantauan cerun yang berjalan dalam masa dua minggu ini.
Pertimbangan ini dibuat sebagai respon kepada keluhan orang ramai, terutama sekali dari pekerja di Genting Highlands, yang terpaksa menggunakan laluan jauh yang sesak dan bertol untuk perjalanan ke pusat peranginan itu.
Source: Jangan curi-curi guna Jln. Batang Kali-Genting, penyenggaraan selepas tanah runtuh masih berjalan