Rebiu Modenas Z250 ABS: Layak lagi ke dilabel antara terpadu dalam kelasnya, baloi ‘angkat’?

Ramai yang teruja apabila jentera ‘Naked’ yang satu ketika dilabel antara paling popular ketika ia mendarat di pasaran tempatan beberapa tahun lalu kembali memeriahkan segmen berkenaan dengan nama sedikit berbeza, Modenas Z250 ABS (2022).

Dilancarkan serentak dengan dua model ‘saudaranya’, Ninja 250/ABS, ramai yang katanya ‘merindui’ nama Z250 namun kehadirannya turut mencetus persoalan, adakah ia masih padu seperti dahulu?

Juga baca: Modenas Ninja 250 ABS, Ninja 250, Z250 ABS (2022) lancar di Malaysia, harga bermula RM 18.9k!

Selepas beberapa ketika berada di pasaran, dan katanya ‘laku keras’, motosikal ini akhirnya tiba di tangan WapCar untuk rebiu dan sesi tunggang uji. Dan selepas beberapa hari melayannya, ini pandangan jujur kami. Jom layan.

Reka bentuk – Masih relevan, masih antara terkacak dalam kelasnya!

Jika anda peminat tegar Kawasaki, bukan kejutan rekaan Modenas Z250 ABS ini cukup sama dengan Kawasaki Z250 yang dilancarkan pada 2019 lalu.

Mungkin ada yang menganggap ia sudah veteran, tetapi tak boleh dinafikan gaya ranggi ‘streetfighter’ dengan gaya ‘Sugomi’ khas Kawasaki itu masih ada peminat tersendiri.  Dan jangan risau, kita tak ketinggalan (sudut rekaan) berbanding pasaran jiran seperti Indonesia dan Thailand. 

Juga baca: Modenas Ninja 250 ABS/Z250 ABS sertai ‘kelab’ dapat penarafan 5 Bintang MyMAP!

Justeru sekalipun sudah agak veteran, rekaannya tak dinafikan masih lagi relevan dan antara yang terhensem ada di pasaran.

Trenkuasa – Antara terpadu tapi jangan keliru

Dipacu enjin 249 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 8 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC, ia adalah trenkuasa sama dengan saudaranya Ninja 250/ABS dan tidak seperti beberapa jenama yang melakukan talaan berbeza, bagi Kawasaki/Modenas, ia sememangnya cukup serupa. 

Justeru, angka kuasa dihasilkan ialah 36 Hp dan dan tork 23 Nm (sama) dan angka seperti itu kebiasaan dihamburkan oleh jentera ‘Sportbike’.

Dan untuk itu, Modenas Z250 ABS boleh ditakrifkan sebagai motosikal ‘berbadankan’ ‘Naked’ tetapi memiliki keupayaan ‘Sportbike’. Kerana itu juga, ia tidak memiliki rasa sensasi tork yang padu di namun top yang cukup mantap. 

Seperti Ninja 250 ABS, yang boleh mencecah 190 km/j tapi untuk penulis yang berbadan sasa, angka itu tak mampu dicapai tetapi sensasinya adalah sama. 

Tunggangan – Bukan ‘Naked’ sejati tapi tetap ‘seronok’

Seperti dinyatakan lebih awal, mungkin ada yang keliru kerana posisi tunggangan Z250 ABS tidak begitu berbeza dengan Ninja 250 dan penunggang perlu sedikit menunduk tetapi tidaklah seperti ‘Sportbike’. 

Tetapi ia sesuatu yang baik kerana disebabkan ia ringan dan kompak, Z250 ABS memiliki karakter yang berbeza dan bagi penulis, mantap di atas lebuhraya dan tangkas meredah laluan berselekoh atau laluan sesak.

Sebagai jentera Naked, ia memang memberi rasa letih buat penunggang terutama sedang melakukan ‘kruising’ di lebuhraya tapi boleh dikurangkan dengan penggunaan visor angin ‘after market’ yang tinggi. Tetapi sensasinya pasti lain dan kepada yang minat, ia bukan satu masalah.

Juga baca: Tunggang uji Modenas Ninja 250 ABS: Prestasi, kualiti kekal mantap, lagi berbaloi?

Penulis sempat menyertai sesi konvoi Kawasaki Malaysia ke litar antarabangsa Sepang dari ibu pejabat Modenas di Glenmarie dan berkonvoi bersama jentera lebih berkuasa, bukan satu masalah untuk Z250 ABS.

Selain itu, beberapa sesi ‘ride’ turut dibuat dan antara input yang diperoleh adalah seperti suspensi belakang sedikit lembut (Spek kilang) boleh dilaras spring preload.

Di laluan selekoh, mengikut pendapat penulis, kemampuan Z250 ABS memang cemerlang dan bersama tayar yang dibekalkan kilang, tiada rasa geli-geli diperoleh namun ia hanya diuji ketika jalan kering.

Apa yang mengujakan, trenkuasa ini memang lancar dan sistem brek yang dipadankan memang cukup memberi keyakinan. 

Teknologi – ‘Biasa-biasa’ tapi masih mencukupi

Dijual pada harga RM 19,500 (asas), Modenas Z250 ABS memang antara paling murah dalam kelasnya tapi hakikat yang perlu diakui juga, teknologi yang dipadankan sudah agak terkebelakang dalam kelasnya di pasaran semasa.

Paling ketara pastinya ketika kebanyakan model lain dalam segmen sama sudah menggunakan fork jenis terbalik (USD), Z250 masih dengan fork teleskopik konvensional.

Selain itu, ia juga tidak memiliki ciri seperti kawalan traksi, sistem Quickshifter tetapi klac Assist & Slipper serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran yang dipadankan memang perlu ada berikutan kemampuannya.

Kesimpulan

Tak dinafikan, akan ada mulut-mulut nakal yang menyatakan kehadiran Modenas Z250 ABS di pasaran sekadar pelengkap atau ia sudah terlalu ‘veteran’ untuk bersaing di pasaran tempatan.

Tetapi dengan pakej dan kemampuan yang dimiliki model ini, tanggapan itu sememangnya tak begitu tepat dan dengan status Kawasaki sebagai ‘big 4’ Jepun, jenama itu sudah mempunyai ‘base’ peminat tegarnya tersendiri dan ketika ini, kehadiran Modenas nampaknya bukan lagi sesuatu masalah.

Sedikit ‘klise’ menyatakan Z250 ABS ini sebagai pengalaman tunggangan yang mengasyikkan terutama buat sesiapa yang baru berjinak dengan dunia ‘big bike’ tetapi ia memang antara sebab ia dihasilkan. 

Bersama Modenas, pakej yang ditawarkan terhadap Z250 ABS ini juga komprehensif dan ditambah dengan hakikat ia dijual pada angka yang lebih murah daripada ketika dilancarkan 3 tahun lalu, memang berbaloi untuk anda memilikinya.

Source: Rebiu Modenas Z250 ABS: Layak lagi ke dilabel antara terpadu dalam kelasnya, baloi ‘angkat’?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com