5 sebab bateri LFP Blade BYD Atto 3 lebih hebat berbanding EV saingan lain

Setakat ini anda pasti dah terdengar atau terbaca tentang kereta elektrik (EV) BYD Atto 3 yang dilancarkan dua minggu lalu. Ia dipadatkan dengan bateri syarikat berkenaan iaitu bateri Blade, maka apakah yang membuatkannya berbeza daripada bateri-bateri lain?

Sebelum kita mulakan, eloklah kiranya kita bincangkan aspek kimianya terlebih dahulu. Bateri Blade ini menggunakan litium besi fosfat (LFP) sebagai bahan katodnya. Bateri LFP merupakan sejenis bateri litium-ion yang, buat masa ini, tidak digunakan secara meluas dalam industri EV sebagai bateri-bateri litium ternary dengan nikel mangan kobalt (NMC) oksida ataupun nikel kobalt aluminium (NCA) oksida.

Juga baca: BYD Atto 3 dilancar di Malaysia – dari RM 150k, SUV EV saiz X50 dengan jarak pandu 480 km

Apakah kelebihan LFP?

Salah satu kelebihan utamanya ialah keselamatan. Berbeza dengan sel-sel NMC yang membebaskan oksigen jika berlakunya penjanaan haba (bateri terlebih panas, selalunya disebabkan oleh kerosakan misalnya dalam kemalangan) dan boleh mencetuskan kebakaran dengan mudah, sel-sel LFP menghalang pembebasan oksigen ini disebabkan oleh ikatan fosforus-oksigen di dalam katodnya. Cukuplah sekadar teori, sekurang-kurangnya.

BYD mendakwa yang Blade Battery ini tidak mengeluarkan api mahupun asap apabila ia ditembusi, dan suhu permukaannya hanya akan mencecah antara 30 – 60 darjah Celcius. Dibawah kondisi yang sama, sesebuah bateri litium ternary boleh melangkaui suhu 500 darjah Celcius dan terbakar.

Satu lagi kelebihannya ialah kos yang rendah. Nikel dan kobalt cukup mahal untuk dilombong dan diekstrak, manakala besi dan fosfat adalah bahan bumi yang lebih banyak; maka ia lebih senang untuk didapati dan menyumbang kepada kosnya yang rendah.

Selain itu, bateri-bateri LFP juga mempunyai kitaran hidup lebih lama berbanding bateri-bateri litium-ion yang lain. Kajian menunjukkan yang bateri LFP mempunyai kira-kira 3,000 kitaran hidup dalam ‘depth of discharge’ (DoD) 100 peratus – bermaksud daripada kadar habis sepenuhnya kepada pengecasan sepenuhnya – manakala bateri NMC berkurang kesihatannya pada kadar dua kali lebih pantas.

Ini adalah disebabkan oleh ikatan fosforus-oksigen seperti dinyatakan di atas yang menjadikannya lebih stabil untuk disimpan dalam cas penuh. Ini juga bermaksud yang bateri LFP boleh dicas sehingga 100 peratus ‘state of charge’ (SoC) tanpa perlu risau akan kesihatannya. Bagaimanapun, mengelak daripada SoC berlebihan masih dianggap tabiat bagus dalam penjagaan kesihatan bateri.

Juga baca: BYD Atto 3 – Selepas 10 bulan di pasaran, apa kata para pemilik di China? Bagus, atau hampeh?

Apakah kekurangan bateri LFP?

Tidak dinafikan, sebab nikel digunakan di dalam bateri-bateri litium ternary adalah untuk meningkatkan ketumpatan tenaga. Tanpanya di dalam bateri LFP, ketumpatan tenaga adalah lebih rendah. Bagi EV, ini bermaksud jarak pemanduannya (range) lebih pendek. Bagi mencapai jarak pemanduan yang sama seperti bateri NMC misalnya, pek baterinya perlu lebih besar.

Maka, apa yang istimewanya bateri Blade BYD?

Di sinilah bermulanya kehebatan bateri Blade secara spesifik. Sel-sel bateri Blade membolehkan rekaan ‘cell-to-pack’ yang menyingkirkan kebergantungan kepada module. Sel prismatik jenis blok yang biasa harus disusun secara bertingkat di dalam module dan ini mengambil ruang lebih banyak.

Tanpa module, sel-sel tunggal ini disusun bersama dalam barisan dan dimasukkan ke dalam pek bateri. Disebabkan oleh struktur pek bateri yang dioptimakan, BYD berkata penggunaan ruang boleh dipertingkatkan sehingga lebih 50 peratus berbanding bateri blok LFP konvensional – meningkatkan ketumpatan isipadu tenaga secara keseluruhan.

Kaedah ‘cell-to-pack’ ini serupa dengan rancangan BMW untuk trenkuasa elektrik generasi ke-6 mereka.

Kesimpulan

Bateri Blade BYD menggunakan kimia LFP yang – secara teorinya – lebih selamat, berkos rendah, dan mempunyai kitaran hidup lebih lama. Kekurangannya ialah ketumpatan tenaga yang lebih rendah berbanding bateri-bateri litium ternary. Walau bagaimanapun, rekaan bateri Blade menyelesaikan kekurangan ini dengan faktor bentuknya yang bijak – membolehkan ketumpatan tenaga lebih tinggi pada tahap pek.

BYD Atto 3 cukup menarik bagi anda? Tak hairanlah apabila Sime Darby Motors Malaysia, pengedar rasmi kenderaan BYD Auto di Malaysia, telah berjaya mengumpul lebih daripada 1,000 tempahan bagi EV Atto 3 dalam masa 10 hari sejak pelancarannya.

Juga baca: BYD Atto 3 berjaya tarik sehingga 4.5k rakyat Malaysia untuk mencubanya!

Bilik pameran BYD pertama akan buka di TREC KL bulan ini, lagi 39 menjelang 2024: pelan RM 500 juta

BYD: EV CKD di Malaysia mungkin boleh, tetapi semuanya bergantung pada dasar kerajaan

Source: 5 sebab bateri LFP Blade BYD Atto 3 lebih hebat berbanding EV saingan lain

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com