Mangsa banjir layak ‘renew’ lesen, sijil pemilikan kenderaan secara percuma – JPJ Terengganu

Bencana banjir yang melanda Pantai Timur Malaysia baru-baru ini telah menyebabkan banyak kerosakan, kehilangan harta benda, dan ribuan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Bagi meringankan beban rakyat yang terkesan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menawarkan perkhidmatan penggantian dan pembaharuan dokumen JPJ secara percuma kepada mangsa banjir di negeri itu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata pembaharuan dan gantian Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) & Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) boleh dilakukan secara percuma melibatkan mereka yang ditimpa musibah banjir.

“Bagi dokumen yang rosak dan hilang, pemilik perlu hadir mengemukakan dokumen asal yang rosak di mana-mana kaunter JPJ di negeri ini.

“Bagi dokumen hilang atau musnah akibat banjir, pemilik perlu mengemukakan salinan laporan polis atau salinan borang pendaftaran mangsa bencana yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pejabat daerah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Tambahnya lagi, tiada tempoh tertentu diberi kepada mangsa banjir untuk urusan penggantian dan pembaharuan dokumen ini, namun mangsa dinasihatkan untuk membuat permohonan secepat mungkin sebaik keluar dari PPS.

JPJ juga akan bekerjasama dengan JKM bagi memudahkan urusan mangsa banjir berkaitan salinan dokumen yang diperlukan.

Source: Mangsa banjir layak ‘renew’ lesen, sijil pemilikan kenderaan secara percuma – JPJ Terengganu

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com