Pengganti Mitsubishi ASX akan dihasilkan di Indonesia, jadi hab pengeluaran ASEAN bermula Okt 2023!

SUV Mitsubishi XFC Concept membuat penampilan sulung globalnya di Vietnam Motor Show 2022 yang lepas. Model konsep ini mempamerkan SUV generasi baharu Mitsubishi yang dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN. Pengeluaran untuk SUV tersebut akan bermula pada Oktober 2023 dengan Indonesia dirancang sebagai hab pengeluarannya, menurut OtoDriver.

Baca: Mitsubishi XFC Concept didedah – ini prebiu Mitsubishi ASX yang diidamkan untuk ASEAN?

“Indonesia akan menjadi hab pengeluaran untuk kereta ini, crossover dalam kelas yang sama dengan Honda HR-V,” ujar sumber yang arif mengenai perkara tersebut kepada OtoDriver.

“Rancangan untuk merealisasikannya adalah pada Oktober 2023. Pengeluaran besar-besaran mungkin akan berlaku pada masa ini,” tambah sumber itu.

Mitsubishi XFC Concept versi pengeluaran massa akan melengkapkan barisan model jenama Tiga Berlian tersebut yang dijual di rantau ini meliputi Triton, Pajero Sport dan Outlander.

Baca: Mitsubishi ASX tamat pengeluaran, tiada model pengganti?

Berkenaan dengan nuansa rekaan XFC Concept, Mitsubishi menjelaskan bahawa ia direka untuk memudahkan operasi dengan memberikan penglihatan hadapan yang baik dan menjanjikan kabin yang luas, terutamanya bagi mereka yang berada di belakang. Memandangkan ruang dan praktikaliti Mitsubishi Xpander tiada tandingan, XFC mungkin mensasarkan Honda HR-V dalam pembangunannya.

Ketika ini, masih belum ada sebarang perincian mengenai spesifikasinya seperti pilihan trenkuasa, tetapi kami menjangkakan Mitsubishi XFC Concept versi pengeluaran akan ditawarkan dalam pilihan petrol biasa dan juga hibrid. Mengenai namanya pula, Mitsubishi mungkin boleh menghidupkan semula nama ASX di ASEAN walaupun nama tersebut digunakan sebagai model rebadge Renault Captur di pasaran Eropah.

Baca: 2023 Mitsubishi ASX generasi baharu didedah – rebadge Renault Captur, selepas bertahun tiada khabar!

Source: Pengganti Mitsubishi ASX akan dihasilkan di Indonesia, jadi hab pengeluaran ASEAN bermula Okt 2023!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com