Ducati mengharungi kempen penuh gemilang muncul juara dunia dalam dua perlumbaan berprestij, MotoGP dan WSBK musim ini dan untuk meraikan kejayaan itu, syarikat pengeluar motosikal ikonik Itali melakukan ‘tribut’ dengan menghasilkan dua model edisi terhad, Ducati Panigale V4S Bagnaia/Bautista (2022).

Seperti namanya, Ducati Panigale V4S Bagnaia/Bautista (2022), kedua-dua model berkenaan dihasilkan menggunakan model Ducati Panigale V4 S standard namun ‘dihensemkan’ menggunakan ‘liveri’ jentera lumba kedua-dua pelumba.
Juga baca: Ducati lengkap kempen gemilang, ‘Pecco’ Bagnaia sahkan gelaran dunia MotoGP 2022!

Dan setiap satunya dihasilkan terhad 260 unit yang sekali gus bakal menjadi antara koleksi yang paling dinanti-nantikan ramai peminat jenama itu.
Kenapa ia dihasilkan sebanyak 260 unit? Menurut Ducati, ia mengambil tahun syarikat itu diasaskan iaitu tahun 1926.

Sebagai model istimewa dan terhad, selain liveri istimewa, Ducati Panigale V4S Bagnaia/Bautista (2022) turut memiliki pelbagai lagi ciri menarik dan dipadankan dengan komponen istimewa dan berprestasi.
Untuk permulaan, setiap unit akan memiliki tandatangan penunggang yang dipamerkan di tangki minyak selain memperoleh nombor edisi yang dilaser di atas klamp. Dan seperti jentera lumba, model edisi khas itu turut didatangkan dengan pelana tunggal.

Antara komponen-komponen berpestasi yang dipadankan termasuklah penggunaan klac kering STM-EVO SBK, ekzos Akrapovic, kaliper brek Brembo Stylema dengan Brembo MCS master cylinder dan sistem pemerolehan data ‘Ducati Data Analyser’.
Turut dipadankan termasuklah peg kaki boleh laras aluminium bilet Rizoma, ‘cowl’ lumba plexiglass, Penutup swingarm yang diperbuat daripada campuran gentian karbon dan titanium, pelindung ekzos, penutup alternator dan fender karbon.
Tidak cukup dengan itu, Ducati turut menghasilkan aksesori tambahan seperti penutup klac terbuka gentian karbon, kit penutup cermin sisi dan nombor plat selain penutup tangki minyak aluminium.
Kepada yang ‘bertuah’, setiap pembelian akan mendapat sijil ketulenan dan selimut motosikal khas daripada Ducati. Untuk versi Bautista, ia turut dipadankan dengan ‘brushed aluminum tank‘ yang terdapat pada jentera Panigale V4R.
Sebagai info, ini kali pertama dalam sejarah perlumbaan Ducati mereka memenangi kedua-dua kejuaraan dunia serentak di MotoGP dan WSBK.
Sumber imej: FB Alvaro Bautista Arce, Francesco Bagnaia