Bagi anda yang belum tahu, varian Sport Hybrid i-DCD buat Honda City (GM7) dan Jazz (GP5) yang Honda Malaysia lancarkan pada tahun 2017 merupakan jawapan untuk kereta rakyat yang memberi penjimatan minyak terunggul dan prestasi yang lebih mengagumkan.
Menariknya, ia juga hibrid paling mampu milik di Malaysia ketika itu iaitu pada harga RM 89.2k untuk City dan RM 87.5k untuk Jazz.
5 tahun kemudian, kedua-dua model popular ini sudah boleh dimiliki pada julat harga serendah RM 55k – RM 65k.
Walau bagaimanapun, skeptikal rakyat terhadap jangka hayat dan penyelenggaraan trenkuasa hibrid masih ada. Namun secara hakikat, membela kedua-dua model hibrid ini tidaklah memeningkan kepala. Tak percaya? Mari kami kupaskan.
Gambaran ringkas
Secara teknikalnya, Honda City Hybrid GM7 dan Jazz Hybrid GP5 dikuasakan oleh enjin 1.5L NA i-VTEC yang menghembuskan 110 PS/134 Nm. Ia diganding dengan motor elektrik berkuasa 30 PS/160 Nm. Gabungan kedua sumber tenaga ini menghasilkan output sebanyak 137 PS dan 170 Nm tork.
Kiranya, ia 17 PS/25 Nm lagi banyak daripada varian 1.5L NA biasa.
Motor elektrik tersebut disokong oleh bateri ion-litium 0.86 kWj yang terletak di bawah but iaitu di tempat tayar ganti.
Kuasa pula kekal dihantar ke roda depan melalui transmisi DCT 7 kelajuan klac kering.
Untuk makluman anda, i-DCD adalah sistem hibrid penuh. Hibrid Integrated Motor Assist (IMA) yang terdahulu pula bukan hibrid penuh kerana kereta masih tidak boleh bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik.
Dari segi penyelenggaraan pula, di antara City Hybrid/Jazz Hybrid dengan varian petrol biasa sebenarnya tidak banyak beza.
Jadual penjagaan buat kedua-dua model ini boleh didapati di bawah:
Kos penjagaan asas buat Honda City Hybrid GM7 & Jazz Hybrid GP5 | ||
---|---|---|
Penyelenggaraan / Selang | Komponen | Kos (RM) |
Servis / 10k km | Minyak enjin, penapis & drain plug washer | 280 |
Penapis udara / 20k km | Penapis udara enjin | 170 |
Penapis kabin / 30k km | Penapis zarah & hama | 140 |
Penapis petrol / 120k km | Penapis petrol & pengekal | 290 |
Servis brek / 60k km | Minyak brek | 60 |
Servis transmisi / 160k km (7-DCT) | Minyak ATF & penapis | 80 |
Cecair penyejuk enjin / 100k km | Coolant enjin | 130 |
Palam pencucuh / 100k km | Spark plug iridium | 450 |
Isu umum dan penyelenggaraan

Menariknya, hibrid i-DCD memang tahan lama dan tak mudah mengalami kerosakan.
Malah kalau anda nak tahu, rekod hibrid IMA Honda sebelum ini pun menunjukkan bahawa hibrid Honda sebenarnya lagi kurang bermasalah berbanding Toyota (ada isu pam ABS, pemampat penyaman udara dan rak stereng).
Lagi satu, City/Jazz Hybrid i-DCD di Malaysia baru 5 tahun atau kurang. Jadi, kebanyakan unit masih dalam waranti 5 tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri 8 tahun/200,000 km.
Apapun, seorang pakar dari Singapura iaitu HEVShop yang banyak menyelenggara kereta Grab Honda hibrid di sana memberitahu bahawa ada beberapa perkara yang pemilik perlu diteliti sebelum membeli City GM7 atau Jazz GP5.
– Transmisi i-DCD
Minyak transmisinya memerlukan dua kali penukaran. Yang pertama adalah minyak Honda DW-1 Ultra iaitu bendalir yang melindung putaran gear dalam transmisi.
Penukaran kali pertamanya adalah pada perbatuan 160k km. Selepas itu pula, selangnya perlu lebih pendek iaitu setiap 30k – 40k km bagi mengekalkan jangka hayat kotak gear.
Kali kedua pula adalah minyak penggerak (actuator) dwi-klac. Sama seperti transmisi manual, ia menggunakan minyak Honda Dot 4.
Kalau tidak tukar, klac boleh jadi terlebih panas dan boleh mengakibatkan kebocoran. Minyak penggerak ini perlu diganti setiap 20k km.
– Pemampat penyaman udara elektrik
City Hybrid GM7 dan Jazz Hybrid GP5 menggunakan pemampat penyaman udara elektrik untuk membolehkan aircon kekal sejuk walaupun enjin tidak hidup.
Cumanya, pemampat elektrik ini menggunakan minyak jenis Polyester (POE) yang mana ia ada sifat nyahelektrik. Penggunaan minyak jenis ini penting supaya minyak dapat melincirkan pemampat tanpa merosakkan komponen elektrik.
Minyak ini harus ditukar untuk setiap 100k km.
– Cecair penyejuk enjin
Untuk City Hybrid GM7 dan Jazz Hybrid GP5, Honda menetapkan penukaran cecair penyejuk buat kali pertama pada perbatuan 200k km. Selepas itu pula untuk setiap 100k km beserta membilas (flushing).
– Kod kerosakan P0420/ lampu check engine menyala
Ini mungkin satu-satunya isu yang pemilik City Hybrid GM7 dan Jazz Hybrid GP5 hadap iaitu kerosakan yang berkod P0420. Untuk makluman anda, kod ini berkait dengan kerosakan catalytic converter.
Tetapi menurut HEVShop, ia sebenarnya melibatkan kerosakan perisian. Isu ini boleh dibaiki dengan mengemaskini perisian dari kilang Honda di mana mereka akan menala semula parameter pengesan catalytic converter, sekaligus mematikan kod kerosakan tersebut.
– Bagaiamana pula dengan bateri hibrid?
Menariknya, bateri hibrid pada kedua-dua model ini tiada sebarang masalah.
Intelligent Power Unit (IPU) yang mengawal bateri dan komponen elektrik pun tiada isu.
Apapun, kos mengganti bateri ion-litium ini adalah lebih kurang RM 5,500 tetapi itu pun kalau anda asyik melenjan.
Secara amnya, sistem hibrid Honda mempunyai jangka hayat yang baik.
Kes kegagalan inverter pun jarang berlaku.
Jadi, kuncinya di sini adalah disiplin penyelenggaraan dan kaki kanan yang lebih ‘ringan’, Kalau anda ikut, tidak mustahil kalau ia boleh cecah usia 15 tahun/200,000 km tanpa sebarang masalah.
Konklusi
Selain beberapa perkara yang kami sebutkan di atas, menjaga sebuah City Hybrid GM7 dan Jazz Hybrid GP5 boleh dikatakan lebih kurang sahaja dengan varian 1.5L NA biasa.
Selain penjimatan minyak yang mengagumkan, kedua-dua model juga cukup praktikal dan memberi pengalaman pemanduan yang unik.
Kalau anda berminat, cari unit yang ada rekod servis penuh dan pilih yang dalam keadaan baik. Kalau nak senang, Carsome ada banyak Honda City dan Honda Jazz varian hibrid dan sekarang ini ada diskaun tunai yang tinggi dan pakej penapis tingkap percuma tetapi untuk masa terhad sahaja. Jadi, cepat dapatkan kereta idaman anda dengan tawaran ini.
Juga baca:
Panduan: Honda Jazz Hybrid (GP5) terpakai – dari RM 60k, hatchback hibrid berbaloi simpan?
Source: Panduan hibrid Honda City GM7 & Jazz GP5 terpakai – ini 5 cara betul untuk jaga dengan mudah!