Ibarat bawa banglo off-road, Isuzu D-Max X-Terrain ‘perform’ kaw-kaw di Borneo Safari 2022!

Ekspedisi tahunan besar-besaran bagi komuniti trak pikap 4×4, Borneo Safari, telah memasuki tahun ke-30 baru-baru ini. Acara bertaraf dunia ini menyaksikan sekitar 480 buah trak pikap menempuh pelbagai bentuk laluan off-road mencabar di sekitar Kota Belud, Sabah – antaranya tak lain tak bukan, Isuzu D-Max X-Terrain serba baru.

Memetik laporan terdahulu, dua buah Isuzu D-Max X-Terrain terbaru diserahkan kepada pasukan Isuzu di Sabah untuk menyahut cabaran off-road Borneo Safari ke-30 yang berlangsung pada 30 Oktober hingga 6 Oktober 2022. Lengkap dengan pelbagai modifikasi off-road yang bukan saja diperlukan untuk laluan mencabar, namun 4×4 ini menarik perhatian ramai dengan rupa bentuknya yang lebih sasa dan menawan.

Dua buah lagi 4×4 yang mengiringi D-Max X-Terrain dalam pasukan Isuzu tahun ini adalah D-Max 1.9 Blue Power; trak pikap yang ternyata lebih dari mampu untuk menawan laluan mencabar di Borneo Safari, dan juga Isuzu MU-X; 4×4 7 tempat duduk yang berkebolehan tinggi dengan gaya ranggi.

Saya berpeluang menaiki dan memandu tiga model hebat keluaran Isuzu ini sepanjang ekspedisi berkenaan. Apa yang boleh saya katakan adalah gergasi Isuzu ini sememangnya dibina untuk jiwa lasak dan dahagakan cabaran.

Modifikasi off-road untuk Isuzu D-Max di Borneo Safari

Sebagai info, semua kenderaan yang menyertai ekspedisi Borneo Safari adalah tertakluk kepada syarat spesifikasi tertentu. Antara spesifikasi yang wajib dipatuhi adalah penggunaan tayar jenis ‘mud terrain’, snorkel, dan yang paling penting; winch.

Isuzu D-Max X-Terrain dan yang lain-lain diberi modifikasi pelbagai; antaranya aksesori di sekeliling badan kereta dan sistem suspensi. Yang penting, trenkuasa tidak diberi sebarang sentuhan istimewa – semuanya ‘stock’ dari kilang Isuzu! Dari segi enjin, kotak gear, dan teknologi keselamatan; semuanya sama dengan Isuzu D-Max anda sendiri.

Antara modifikasi yang dibuat pada D-Max X-Terrain untuk ekspedisi ini termasuklah penggantian ‘shock absorber’ berserta ‘spacer’ dan ‘body lift’ 3 inci. Memang tinggi apabila jentera Isuzu ini masuk Borneo Safari, kerana D-Max sudah cukup digemari dengan jarak lega bumi asalnya iaitu 800 mm.

Selain itu, aksesori ‘off-roading’ yang dipasang pada trak-trak pikap Isuzu dan juga pada kebanyakan jentera peserta lain antaranya termasuklah bumper off-road, step bars, bull bar, roof rack, spare tire carrier, light bar, dan lain-lain.

Tidak dinafikan, semua modifikasi dan aksesori ini amat diperlukan bagi memastikan ekspedisi off-road selama 8 hari ini berjalan dengan lancar. Jika salah satu trak mengalami kegagalan winch, yang lain di belakang terpaksa menunggu!

Prestasi Isuzu D-Max di Borneo Safari

Isuzu D-Max X-Terrain yang dibawa masuk ke Borneo Safari boleh dikatakan trak pikap tercanggih di kalangan yang lain. Inilah sebabnya kami terasa seperti membawa ‘banglo’ masuk ke hutan kerana ia sangat selesa dan berkemampuan tinggi dalam menempuh ‘hardcore section’ Borneo Safari. Tambahan pula, laluan yang dipilih tahun ini turut dikatakan laluan paling mencabar setakat ini!

Enjin turbodiesel 3.0 liter 4 silinder (190 PS/450 Nm) D-Max X-Terrain memudahkannya menempuh jalan hutan berbukit dan berlumpur. Trak pikap dengan transmisi automatik 6 kelajuan ini didatangkan lengkap dengan Terrain Command yang membolehkan pemandu beralih antara mode 2H, 4L, dan 4H ‘on-the-fly’ dengan hanya memutar tombolnya. Selain itu, varian X-Terrain ini juga dilengkapi rear differential lock yang memperkasakan lagi kebolehan off-roadnya.

Ruang kabin X-Terrain memang premium dengan kemasan kulit pada tempat duduknya dan di serata kabin. Kerusinya dengan pelaras elektronik besar dan selesa, ada skrin sentuh 9 inci sebagai infotainment lengkap dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, tetapan 8 speaker, dan panel meter berserta skrin digital paparan pelbagai info (MID) 4.2 inci yang menunjukkan segala fungsi dan mod pemanduan.

Isuzu D-Max X-Terrain juga menerima naiktaraf tahun ini dengan penambahan kamera 360 darjah, pengecas tanpa wayar Qi, lampu di penghadang keluar masuk dengan emblem X-Terrain dan lampu selamat datang pada bahagian bawah kenderaan (welcome light).

Premium? Memang terasa perbezaannya dengan 4×4 konvensional yang lain apabila off-roading ke hutan menaiki D-Max. Mungkin anda bayangkan ekspedisi 8 hari kami di sekitar kawasan hutan Kota Belud satu pengalaman kurang selesa. Tapi hakikatnya, tidak dengan jentera moden ini – tidur di kawasan berbukit di dalam kabin trak pikap premium ini memang nyenyak! Bila bosan, sambung saja Apple CarPlay – kami leka layan Spotify di tengah hutan sambil ‘healing’ layan udara segar, air sungai sejuk, dan kehijauan di sekeliling kami.

Dari segi kecekapan minyak, salah seorang pemandu rasmi kami di Borneo Safari ada menyebut tentang kelebihan ini pada D-Max. Katanya, dalam banyak-banyak 4×4 yang pernah dipandunya, beliau cukup kagum dengan penjimatan minyak jentera Isuzu ini. Merujuk kepada ujian yang kami jalankan sebelum ini – 50% pemanduan di lebuh raya dan 50% di bandar sesak – kami dapati penggunaan minyak D-Max X-Terrain adalah 8.3L/100 km.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh katakan tentang pengalaman off-road bersama jentera hebat ini di Borneo Safari adalah aneh, “in a good way” – aneh kerana kelasakan perjalanan kami dan lumpur di merata-rata tempat terasa kurang padan dengan betapa premiumnya ruang dalaman 4×4 ini.

Kita sering membayangkan kenderaan utiliti sebagai jentera lasak tanpa banyak ciri keselesaan dan kemudahan moden, dan off-road hanya untuk orang tertentu sahaja. Ternyata trak pikap baharu dan moden masa kini semakin merubah persepsi itu, dan aktiviti ‘outdoors’ kini terasa semakin mudah dan sesuai untuk seisi keluarga.

Borneo Safari juga menjadi satu pengalaman berharga buat saya yang takkan dapat dilupakan. Bagi mereka yang baru pertama kali menyertai ekspedisi off-road mahupun yang berpengalaman, banyak perkara baru yang boleh diterokai dan dipelajari. Semoga kita berjumpa lagi di Borneo Safari yang seterusnya!

Source: Ibarat bawa banglo off-road, Isuzu D-Max X-Terrain ‘perform’ kaw-kaw di Borneo Safari 2022!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com