Rekod dicipta, Beam catat 1.1 juta tunggangan e-skuter, lebih 200k pengguna di Malaysia sepanjang 2022!

Syarikat pengendali dan penyedia perkongsian mikro-mobiliti e-skuter terbesar di Asia Pasifik, Beam Mobility mencatat rekod pada tahun ini dengan lebih 1.1 juta tunggangan dicatatkan di Malaysia pada tahun 2022.

Jumlah berkenaan, mengikut Beam adalah peningkatan 2.5 kali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan pada tahun 2021.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, sejak setahun lalu, mereka merekodkan lebih daripada 80,000 pendaftaran pengguna baharu yang juga peningkatan lebih 65 peratus berbanding tahun 2021.

Berdasarkan rekod, lebih daripada 100,000 perjalanan dilakukan pengguna dari fasiliti pengangkutan awam seperti MRT, LRT atau stesen bas.

Jumlah berkenaan juga adalah peningkatan 5 kali ganda berbanding tahun sebelumnya iaitu setahun sebelum syarikat-syarikat memansuhkan peraturan kerja dari rumah susulan sekatan Covid-19.

“Data itu menunjukkan dengan jelas peningkatan jumlah rakyat Malaysia kini mula menerima perkhidmatan perkongsian e-skuter sebagai mod pengangkutan yang sebenar,” kata Pengarah Urusan Beam Mobility Malaysia, Justin Tiew.

“Saya mahu mengucapkan teritam kasih kepada semua pengguna atas sokongan dan maklum balas yang membina sejak beberapa tahun lalu.”

Sejak setahun lalu, Beam sudah menyediakan lebih daripada 3,500 unit e-skuter di pelbagai kawasan seluruh semenanjung Malaysia termasuk Perak, Johor, Pahang dengan keutamaanya diberikan di kawasan Lembah Klang.

Setakat tahun 2022, rakyat Malaysia sudah melakukan perjalanan lebih daripada 2 juta kilometer yang sekaligus bermakna lebih daripada 486 tan karbon dioksida berjaya dihalang daripada dilepaskan jika perjalanan dibuat melakukan kenderaan konvensional.

Sejak pengenalannya di Malaysia pada 2019, misi Beam adalah untuk membantu perjalanan yang lebih lancar terutama di bandar-bandar besar yang sekaligus mengurangkan pencemaran udara.

Dan menurut syarikat itu, perkembangan itu memberi petunjuk yang signifikan terhadap sistem pengangkutan era baharu di Malaysia.

Source: Rekod dicipta, Beam catat 1.1 juta tunggangan e-skuter, lebih 200k pengguna di Malaysia sepanjang 2022!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com