Tak menunggu masa yang lama, promoter Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Two Wheels Motor Racing tampil mengumumkan kalendar perlumbaan musim 2023 yang dijadual berlangsung sebanyak enam pusingan.

Daripada enam pusingan, dua pusingan dijadual berlangsung di Thailand, 1 di Malaysia, 1 di Jepun, 1 di China dan satu pusingan akan diumumkan kelak.
Seperti musim lalu, perlumbaan elit motosikal Asia itu akan membuka tirainya di Litar Buriram, Thailand pada Mac 2023 selain turut menjadi venue penutup musim yang dijadual pada Disember.

Pusingan kedua perlumbaan dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Mei sebelum saingan yang menghimpunkan pelumba-pelumba terbaik seluruh Asia itu berkunjung ke Jepun (Litar Sugo) bagi pusingan 3 pada Jun.

Begitupun, perlumbaan Pusingan 4 yang dijadual pada bulan Ogos begitupun belum ditentukan dengan Indonesia dan Australia boleh menjadi salah satu destinasi perlumbaan yang menarik.
Perlumbaan Pusingan 5 yang dijadual di China (Litar Zhuhai) juga masih bergantung kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) membabitkan Covid-19 di negara berkenaan sebelum Thailand menjadi venue penutup tirai.

Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hogg berkata pihaknya positif terhadap prospek bagi musim 2023 berikutan pengalaman berdepan situasi tidak diingini yang ditempuhi pada tahun ini.
“Justeru, kami yakin kami dalam komuniti ARRC sudah pun berada pada momentum yang tepat pada tahun depan untuk menjadi lebih baik. Saya memberi jaminan yang musim 2023 akan menampilkan fasa yang lebih menarik,” katanya.

Presiden FIM Asia, Stephan Carapiet dalam pada itu berkata pihaknya menjangkakan perjalanan lebih lancar bagi perlumbaan ARRC musim depan.

“Dengan enam pusingan dijadualkan pada tahun depan, kami berharap ARRC akan terus memberikan cabaran buat pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba kita di Asia untuk mencapai kejayaan yang lebih menggagumkan.”
Kalendar perlumbaan ARRC 2023
- Pusingan 1 – Thailand (Litar Antarabangsa Chang, Buriram) 24-26 Mac
- Pusingan 2 – MALAYSIA (LITAR ANTARABANGSA SEPANG) 12-14 Mei
- Pusingan 3 – Jepun (Litar Antarabangsa Sportsland Sugo) 23-25 Jun
- Pusingan 4 – Akan diumumkan kelak, 11-13 Ogos
- Pusingan 5 – China (Litar Antarabangsa Zhuhai), 6-8 Oktober
- Pusingan 6 – Thailand (Litar Antarabangsa Chang, Buriram) 1-3 Disember
Juga baca: ARRC 2022: Tiada podium tapi Honda, Zaqhwan sahkan gelaran keseluruhan ASB1000 di Buriram!
Juga baca: ARCC 2022: Peluang jagoan negara rangkul gelaran keseluruhan ‘terbuka’ di Buriram!
Source: Kalendar ARRC 2023 diumum, dua perlumbaan di Buriram, SIC pusingan ke-2!