Lebih 50 set tren, kekerapan 3 minit untuk LRT Laluan Kelana Jaya pada Q3 2023 – MOT

Warga Lembah Klang yang bergantung kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menikmati perkhidmatan tren dengan kekerapan 3 minit menjelang suku ketiga 2023 setelah kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan set tren siap kelak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pihak operator iaitu Prasarana sebenarnya menyediakan 56 set tren untuk Laluan Kelana Jaya.

Bagaimanapun, buat masa ini hanya 38 set tren yang beroperasi bagi LRT Laluan Kelana Jaya dengan kekerapan 5 minit manakala baki 18 set tren sedang menjalani pelbagai program penyenggaraan termasuklah penggantian tachometer, pemeriksaan dan pembaikan trek, serta ‘wheel profiling’.

“Secara optimanya, kita mahu melihat kekerapan tren paling minima 3 minit. Bagi mencapai kekerapan 3 minit, kita memerlukan 48 set tren yang boleh beroperasi,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Prasarana diminta untuk mempercepatkan proses penyenggaraan ini supaya jumlah set tren boleh beransur-ansur masuk beroperasi semula.

“Jangkaan kita, 56 set tren ini akan siap atau lebih 50 set tren akan dapat beroperasi menjelang suku ketiga 2023. Prasarana juga telah membeli 19 set tren dengan 4 kereta. Set pertama akan beroperasi menjelang Ogos 2023,” tambahnya lagi.

Juga baca: 19 set tren baharu untuk LRT Kelana Jaya; TAPI kena tunggu Disember 2024, frekuensi 3 minit September 2023

Selain itu, Prasarana juga akan menjalankan proses penyenggaraan besar-besaran keatas keseluruhan sistem perkhidmatan termasuk penjana kuasa, sistem, pensignalan, dan sebagainya.

Tambahnya, pihak operator mengakui perkhidmatan LRT adalah tidak stabil dan masih berdepan masalah hampir setiap hari. Namun, pengguna diharap bersabar kerana dalam tempoh beberapa bulan mendatang, perkhidmatan dijangka akan mengalami gangguan dari masa ke semasa.

“Namun, pihak pengurusan telahpun diberitahu untuk memberi perhatian serius terhadap masalah ini bagi meminimakan masalah. Menjelang Jun 2023 atau suku ketiga nanti, kita harap perkhidmatan akan lebih stabil,” jelasnya.

Juga baca: Nak rasa sendiri kepayahan rakyat, Anthony Loke ketepi protokol bersesak naik LRT di waktu puncak!

Source: Lebih 50 set tren, kekerapan 3 minit untuk LRT Laluan Kelana Jaya pada Q3 2023 – MOT

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com