Pepatah automotif ada mengatakan bahawa “Hidup ini terlalu pendek untuk pandu kereta bosan”. Tetapi 99% daripada masa kita sebenarnya hanya memerlukan kereta yang praktikal dan tahan lama.
Lagipun, apa gunanya ada kereta gempak kalau tak boleh bawa barang atau rosak memanjang?
Perkara ini sekaligus membawa topik ini kepada sebuah model yang cukup popular di Malaysia iaitu Honda City generasi GM6. Kalau diikutkan, inilah antara sedan paling baik yang pernah dijual di Malaysia kerana tahap ruang dan praktikalitinya di satu kelas lebih atas. Trenkuasanya pula tahan lama dan mempunyai perhalusan yang baik. Hari ini, harga Honda City GM6 sudah lebih kurang Perodua Bezza sahaja. Jadi, adakah ini pembelian yang lebih berbaloi untuk anda yang mencari sedan terbaik dalam julat harga tersebut?
Juga baca: Honda City GM6 (generasi sebelum): Berbaloi beli model ini secara terpakai?
Varian yang ditawarkan di Malaysia

Sewaktu dilancarkan pada tahun 2014, Honda City GM6 datang dengan varian S, S+, E dan V. Kesemua varian menggunakan trenkuasa 1.5L i-VTEC yang menghembuskan 120 PS/145 Nm. Kuasanya diurus oleh transmisi CVT.

Kemudian pada tahun 2017, Honda City GM6 dikemaskini dengan gaya lebih moden dan kelengkapan yang lebih banyak. Pada masa yang sama, varian Sport Hybrid i-DCD (GM7) turut diperkenalkan, sekaligus mengubah penawaran varian kepada S, E, Sport Hybrid dan V.
Dari segi teknikal, Honda City Hybrid dikuasakan oleh enjin 1.5L yang dipadankan dengan transmisi CVT 7 kelajuan Ia turut menggandingkan motor elektrik dan bateri ion-litium.
Apa yang bagusnya trenkuasa hibrid i-DCD ini ialah penyaman udara akan tetap sejuk walaupun enjin bukan dalam mod hidup. Senang kata, ia bukan macam sistem hibrid Integrated Motor Assist (IMA) yang sebelumnya.
Trenkuasa Honda City GM6/GM7 | ||
---|---|---|
Enjin | Output | Transmisi |
1.5L i-VTEC – varian S,E,V |
120 PS, 145 Nm | CVT |
1.5L i-DCD – Sport Hybrid |
137 PS, 170 Nm (gabungan) |
7DCT |
Varian yang patut anda pilih dan harga dalam pasaran terpakai
Model tahun 2014 – 2015 sekarang berharga lebih kurang RM 50k. Unit tahun 2019 – 2020 pula kini tak sampai RM 75k. Varian hibrid pula sekarang dalam lingkungan harga RM 55k ke RM 65k sahaja.
Juga baca: Honda City GM6 kini lebih murah dari Proton Persona baru – berbaloi harga sekitar RM 40k?
Mengenai hibrid, tidak dinafikan bahawa trenkuasanya lebih kompleks. Komponen seperti bateri dan inverter yang digunakan pula agak mahal untuk diganti apabila masanya tiba. Tetapi apa yang bagusnya adalah tahap penjimatan minyak dan prestasi yang anda dapat dengan harga tersebut.

Walau apa jua sekalipun, Carsome ada banyak unit terpakai yang dijamin dalam kualiti dan keadaan yang baik. Malah, terdapat waranti lanjutan dan diskaun tunai yang anda boleh dapat sekarang.
Kos penjagaan asas buat Honda City GM6/GM7 | |||
---|---|---|---|
Varian | City S, E, V | City Sport Hybrid | |
Cukai jalan (RM) | 90 | ||
Saiz tayar | 175/65R15 / 185/55R16 | 185/55R16 | |
Tayar/biji (RM) | 145 – 250 / 170 – 280 | 170 – 280 | |
Bateri – NS40 (RM) | 200 – 260 |
Penyelenggaraan dan isu umum?
Sebagai kereta yang mempunyai jangka hayat yang bagus, tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai penjagaan Honda City GM6.
Kalau anda ikut jaduan penyelenggaraan, nak guna sampai 250,000 km pun tiada isu.
Di bawah adalah jadual penjagaan asas buat Honda City GM6:
Kos penyelenggaraan Honda City GM6/GM7 | ||
---|---|---|
Penyelenggaraan / Selang | Item | Kos (RM) |
Servis / 10k km | Minyak enjin, penapis minyak & pembasuh drain plug | 280 |
Penapis udara / 20k km (NA/Hybrid) | Penapis udara enjin | 95/170 |
Penapis kabin / 40k km NA, 30k km Hybrid | Penapis hama dan zarah | 105 / 140 |
Penapis bahan api / 80k km NA, 120k km Hybrid | Penapis bahan api dan pengekal | 365 |
Servis brek / 60k km | Minyak brek | 60 |
Servis transmisi / 40k km (CVT) | Minyak ATF dan penapis | 200 |
Servis transmisi / 160k km (7DCT) | Minyak ATF dan penapis | 100 |
Ganti cecair penyejuk / 200k km | Cecair penyejuk (coolant) | 150 |
Palam pencucuh / 100k km (NA/Hybrid) | Ganti palam pencucuh (spark plug) | 365 / 450 |
Dari segi kos servis, ia agak murah cuma varian hibrid mempunyai sedikit perbezaan dari segi harga penukaran penapis udara dan minyak transmisi.
Menariknya, penyelenggaraan varian hibrid sebenarnya lagi kurang dan selangnya lebih panjang. Cumanya, setiap 20k km, penapis udaranya perlu ditukar dan ia harganya lebih mahal daripada varian petrol biasa.

Dalam perbatuan 125k km pula, komponen trenkuasa dan suspensi akan mula menunjukkan tanda haus. Jadi di bawah, kami lampirkan juga isu dan kos yang berkait.
Isu umum pada Honda City GM6/GM7 | ||
---|---|---|
Komponen | Simptom | Kos (RM) |
Lower arm depan | gegaran / hentakan dari permukaan jalan | 750 (Ori) |
Absorber depan | Pengendalian macam sampan / bunyi suspensi | 580 (Ori) |
Absorber belakang | Bunyi suspensi | 480 (Ori) |
Ignition coil | Rough idle / loss of power | 200 / unit |
Engine leaks | Engine oil sump, transmission sump, valve cover gasket | 1,000 |
Untuk makluman anda juga, terdapat isu yang akan berlaku sekiranya penjagaan kurang ataupun mekanik itu sendiri membuat kesilapan. Apa yang kami maksudkan adalah kebocoran minyak pada bahagian oil sump enjin dan transmisi.
Disebabkan itu, anda disarankan membuat dahulu pemeriksaan pada bahagian bawah kenderaan untuk lihat secara jelas mengenai komponen ini.
Spesifik untuk City Hybrid, bateri hibridnya disokong oleh waranti 8 tahun dan harga untuk menggantinya adalah RM 5,500. Namun begitu, usia varian ini belum lagi cecah 5 tahun. Jadi, ia masih dalam jaminan waranti kalau berlaku apa-apa.
Lagi satu, berdasarkan rekod model hibrid IMA, hibrid Honda menunjukkan maklum balas yang lebih memuaskan daripada pemlik di mana ia lebih tahan daripada Toyota. Masalah seperti pam ABS, pemampat penyaman udara dan rak stereng sememangnya kurang dirungut, bukan seperti yang banyak dialami oleh pemilik Toyota Prius.
Konklusi
Setelah saban tahun, City GM6 masih kekal sebagai sedan yang sesuai untuk pelbagai jenis penggunaan kerana ia sememangnya serba boleh, menjimatkan kos dan tahan lama.
Kalau anda cenderung untuk beli kereta Jepun terpakai berbanding sebuah Proton Saga atau Perodua Bezza baru, Honda City GM6 boleh menawarkan aspek praktikaliti, kualiti, prestasi dan nilai yang cukup memuaskan.

Apapun, ambil masa anda untuk cari unit yang elok. Tak pun, rujuk terus ke Carsome untuk mencari Honda City GM6 terbaik yang boleh anda beli.
Juga baca: Nak Honda City generasi GM6 anda LEBIH sedap & mantap? Ini 5 tips mudah yang cukup padu!
Source: Honda City GM6/7 terpakai dari RM 50k; praktikal bak segmen C, harga Bezza, berapa kos nak bela?