Panduan Perodua Viva terpakai – kereta bandar semurah RM 10k, Axia ‘mahal sangat’? Ini jawapannya

Kereta bandar untuk bergerak dari titik A ke B dengan mudah sebenarnya satu keperluan wajib buat mereka yang tidak suka guna pengangkutan awam ataupun tidak boleh menunggang motosikal.

Dalam masa yang sama, kereta bandar sinonim dengan sesuatu yang ringkas dengan kos penjagaan yang rendah. Dalam banyak-banyak model di Malaysia, tiada apa yang boleh lawan legasi kereta bandar mutlak selain daripada Perodua Kancil.

Juga bacaSejarah Perodua Kancil – 25 tahun yang mencipta kenangan rakyat Malaysia

Dan setelah beransur begitu lama, muncul lah pewaris seperti Perodua Kelisa dan pada 2007, Perodua Viva. Kini pula, legasi kereta bandar sejati disambung oleh Perodua Axia. Namun, apa pilihan yang ada di luar sana, jika Axia bukan pilihan utama anda? Percaya tak percaya, anda sebenarnya masih boleh membuat pinjaman bank untuk Perodua Viva tahun 2012-2013 kerana usianya belum lagi melebihi 10 tahun. Jom ikuti panduan kami kali ini, dan lihat bagaimana ingin memilih Perodua Viva yang terbaik untuk anda.

Sedikit sejarah dan varian yang ditawarkan

Hatchback kompak segmen A dari Perodua ini dilancarkan pada tahun 2007 dan sepanjang jualan Viva, terdapat tiga siri pembaharuan iaitu model ELITE pada tahun 2009, model ELITE Exclusive (RM 42k) pada tahun 2010 dan model S (RM 34.8k) pada tahun 2013 di mana ia lebih mampu milik. Kemudian pada tahun 2014, barulah Perodua Viva digantikan dengan Perodua Axia.

Tidak kisah model tahun mana sekalipun, Perodua Viva datang dengan pilihan enjin 660cc (0.6L), 850cc (0.85L) dan 1.0L seperti berikut:

  • 660cc: EF-VE – (47 PS, 58 Nm)
  • 850cc: ED-VE – (52 PS, 76 Nm)
  • 1.0L: EJ-VE – (60 PS, 90 Nm)

Pilihan transmisi pula adalah manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan.

Untuk model sebelum facelift, Perodua Viva hadir dengan varian biasa dan Premium dengan julat harga dari RM 28.4k – RM 44.2k. Perbezaan paling ketara untuk varian Premium adalah stereng berkuasa (power steering) dan khusus untuk EZi adalah penambahan ciri brek ABS dan 2 beg udara. Menariknya, varian 1.0L ada bar penstabil (stabiliser bar) pada bahagian hadapan.

Kemudian pada tahun 2009, Viva ELITE diperkenalkan sebagai ganti kepada varian Premium dan dalam model ELITE sendiri ada gred biasa dan EZi iaitu spesifikasi teratas. Kedua-dua varian ELITE turut hadir dengan cermin berlapisan anti-UV yang melindung penumpang 91% daripada sinaran ultraungu. Sama seperti sebelumnya, varian EZi sahaja yang ada brek ABS. Julat harga Perodua Viva ketika itu adalah dari RM 25.3k – RM 44.9k.

Setahun selepasnya pula, Perodua memperkenalkan Viva ELITE Exclusive (RM 42k) yang mana ia datang eksklusif dengan pilihan warna Classy Purple, rim warna kelabu gelap, tempat duduk kulit dan kluster meter unik.

Varian mana yang patut anda beli?

Memandangkan kereta bandar sinonim dengan sesuatu yang ringkas, aspek keselamatan patut menjadi keutamaan dan disebabkan ini sahaja, anda boleh terus pilih antara varian Premium EZi, ELITE EZi atau ELITE Exclusive kerana mereka sahaja yang ada ciri brek ABS. Jadi, kalau anda terpaksa membuat brek kecemasan pun, roda takkan terkunci yang mana kalau berlaku, kereta anda akan terus meluncur. Lagi satu, selain 2 beg udara, ketiga-tiga varian ini juga ada stereng kuasa yang memudahkan pemanduan pada kelajuan rendah, terutama sewaktu masuk keluar parkir.

Berapa harga dalam pasaran terpakai?

Untuk varian Premium EZi, memandangkan ia model yang sudah tidak dibuat pinjaman bank, harganya bergantung pada kondisi kenderaan itu sendiri dan kalau bernasib baik, anda kini boleh memilikinya serendah harga RM 9k. Model ELITE EZi pula boleh didapati serendah RM 11k dan ELITE Exclusive boleh dimiliki pada harga lebih kurang RM13k. Tetapi kalau anda nak yang boleh buat pinjaman bank, model tahun 2012 dan ke atas iaitu ELITE EZi atau ELITE Exclusive dalam pasaran sekarang berharga lebih kurang RM 14k – RM 18k.

Perodua VIVA

Kos penjagaan asas

Sebagai kereta rakyat yang cukup ringkas dan berteknologi Jepun, kos pembelaannya sangat rendah dan antara perihal yang berkait boleh didapati di bawah:

Kos penjagaan asas buat Perodua Viva
Item Julat kos
Servis (setiap 10,000 km) RM 150
Tayar (165/55R14) untuk varian arus perdana RM 150/biji
Servis transmisi (setiap 60,000 km) RM 90
Penukaran klac untuk transmisi manual (setiap 110,000 km) RM 750
Servis penyaman udara RM 250
Penggantian palam pencucuh (setiap 40,000 km, 3 biji) RM 30/biji
Bateri RM 180

Isu umum dan permasalahan

Walau bagaimanapun, setiap kereta pasti ada jangka hayatnya dan Perodua Viva juga tidak terkecuali. Menurut para pemilik termasuk saya sendiri, isu yang berkait dengan si kecil ini rata-rata melibatkan jangka hayat yang pra-matang atau sedikit kesilapan pada reka bentuk asal. Antaranya seperti pintu belakang kiri yang sukar untuk dibuka kerana getahnya tidak serasi dengan bahagian yang bersentuh. Apapun, kos penukaran getah yang lebih baharu memakan kos tidak sampai RM 80.

Perodua VIVA

Yang kedua pula adalah rak stereng yang hanya tahan 70,000 km. Kos menggantinya kalau yang tulen dari Perodua boleh mencecah RM 1,500. Tetapi kami sendiri sarankan anda untuk tukar di bengkel luar yang menggunakan alat ganti terpakai dari Daihatsu kerana ia tahan lebih lama dan kosnya lebih kurang RM 550 sahaja.

Bercakap mengenai jangka hayat, panel radio Viva juga akan rosak apabila tiba masanya. Tetapi kos untuk menukar hanya lebih kurang RM 300 sahaja. Yang bestnya, panel radio zaman sekarang datang sekali dengan port mengecas USB dan sambungan Bluetooth.

Satu lagi isu yang ramai pemilik hadap adalah peniup penyaman udara (A/C blower) yang akan rosak walaupun usia kereta belum mencecah 9 tahun. Apapun, kos penggantian kalau di bengkel luar hanya sekitar RM 250 sahaja.

Perodua VIVA

Untuk pemilik yang sudah memandu Viva mereka sampai 200,000 km pula, rata-rata daripada mereka menghadapi isu kebocoran minyak enjin di mana simbol low engine pressure akan menyala. Menurut pakar, ia hanya berkait dengan valve cover, top cover, oil cover ataupun gasket yang sudah haus. Semua komponen ini diibarat seperti gam atau getah pelekat yang berprestasi tinggi tetapi sifatnya pasti akan kurang apabila tiba masanya.

Menariknya, kegagalan kotak gear automatik juga boleh berlaku tetapi ia sebenarnya berpunca dari penggunaan minyak ATF yang tidak bertauliah. Maklumlah, kereta ringkas kan. Pengguna pun cenderung untuk servis di bengkel terdekat yang mana kualitinya belum tentu terjamin. Untuk membaik pulih, kosnya memakan dalam lingkungan RM 1,000 (RM 1,800 untuk overhaul) tetapi kalau anda hendak tukar ke unit lain, ia akan menelan belanja lebih kurang RM 2,500.

Isu umum & masalah pada Perodua Viva
Isu Item  Julat kos
Pintu kiri belakang ketat Tukar getah pintu RM 80
Stereng berbunyi & minyak hilang Tukar rak stereng RM 550
Radio tersekat Tukar panel radio RM 300
Peniup penyaman udara (A/C blower) Ganti A/C blower RM 250
Minyak enjin bocor (simbol low engine pressure nyala) Ganti valve cover, top cover, oil cover & gasket RM 1,600
Kotak gear tidak berfungsi Ganti flywheel oil seal, driveshaft oil seal, rocker cover RM 1,000

Konklusi

Jadi, itulah segala perincian mengenai Perodua Viva. Walaupun ada isu yang tidak dijangka, ia tetap mudah untuk dibela dan tidak akan memakan belanja yang besar. Malah, walaupun ia model terdahulu, sesetengah pihak termasuk saya sendiri berpendapat bahawa tempat duduknya lebih selesa daripada Axia kerana sokongan dari kusyennya rasa lebih semula jadi.

Untuk anda yang berminat, Carlist ada banyak Perodua Viva terpakai yang terjaga dengan baik. Jadi, untuk mereka yang tidak berkenan dengan Axia tetapi mahu sesuatu yang lebih kurang sama, mungkin inilah jalannya?

@wapcar_adrian #PeroduaViva second, boleh beli ke? #carmalaysia #fypmalaysia #carreview ♬ Reality – Lost Frequencies
@wapcar_adrian Siapa pernah isi RON100? Hadir di komen #carmalaysia #learnontiktok #carsafetytips #PepsiApplePieChallenge ♬ FEEL THE GROOVE – Queens Road, Fabian Graetz

Juga bacaPerodua Axia terpakai dari RM17k – Adakah harga lebih mampu milik bermaksud nilai yang lebih baik?

Source: Panduan Perodua Viva terpakai – kereta bandar semurah RM 10k, Axia ‘mahal sangat’? Ini jawapannya

Leave a Reply

Your email address will not be published.

WelfulloutDoors.com